Monday, 30 September 2013

rahsia kehidupan


~ Suatu Pagi Yang indah Di Dalam Kehidupanku.....

Aku bertanya pada diriku:

“Apakah makna kesemuanya ini?

Angkara siapakah segala kejadian dan perbuatan ini?

Aku akan cuba pergi mencari jawapannya kepada semua ini dan setelah itu aku akan mengubah apa yang berlaku dan patut terjadi.”

Maka bermulalah perjalananku.

Tetapi nanti dulu.

Ada 1,001 jalan.

Jalan manakah yang harus dituju ?.

Aku berdiri dan berkata,

“Aku akan bertanya kepada tanah tentang kehidupan, kerana tanah mengandungi banyak perbendaharaan dan keajaiban”

Lalu tanah berkata:

“Aku juga sangat bersedih seperti kamu kerana aku tidak tahu Rahsia Kehidupan.

Aku bergantung kepada manusia, akan segala perbuatan mereka terhadapku.

Di dalam aku hanya mayat si mati, bagaimana aku tahu akan erti kehidupan?”

Kemudian aku beralih pula kepada lautan kalau-kalau air dapat memberikan ku jawapan.

“Aku tidak dapat menghilangkan dahagamu akan ilmu.” kata lautan.

“Aku sendiri dahaga dan menanti air dari muara sungai, betapa dapat aku menghilangkan dahagamu?.”

“Mungkin angin tahu rahsia kehidupan” kata ku lagi.

Namun angin berkata:

"Aku tidak mempunyai daya dan tidak tahu arah dituju, aku menuju ke selatan, sebentar ke utara, sebentar ke arah yang lain.

Aku juga bersedih seperti kamu dan tidak tahu rahasia kejadian”.

“Mungkin api tahu jawapannya” kata ku seterusnya.

“Bagaimana dapat aku berikan jawapannya.

Aku juga bersedih seperti kamu.

Kadang-kadang aku binasakan sesuatu tanpa mengetahui sebabnya.

Aku juga takut mati jika tidak ada benda yang dapat aku bakar”.

Lantas ku bertanya kepada matahari, bulan dan bintang tetapi kesemuanya berkata mereka juga jahil kerana mereka tidak lebih daripada bahan unsur-unsur kejadian.

Aku tidak tahu mana ingin dituju lagi dan kembali bertanya kepada bumi, kalau-kalau ia boleh menceritakan makna dan tujuan kehidupan.

Ternyata ku kecewa kerana ia berkata:

“Tidakkah engkau yang bertanggungjawab terhadap kami.

Bukankah engkau manusia, satu-satunya kejadian yang mempunyai AKAL fikiran?”

“Aku harus bertanya kepada akalku” kata ku kepada diri ku.

Akal fikiran menghilang apabila ditanya soalan sebegitu.

Bukankah akal itu alat orang yang tidak mempercayai?

Bukankah orang yang percaya itu berfikir dengan kalbunya?

Namun hati secara diam-diam berkata kepada ku bahawa ianya hanya alat yang menerima pantulan dari mentari jiwa.

Dengan penuh kesal aku kembali ke rumah ku dan duduk termanggu di depan rumah.

Kemudian tidak semena-mena aku terdengar suara dari laut jiwa alam.

“Kamu kecewa mencari hakikat kejadian alam dan kini kamu terdampar di pantai kejadian alam.

Kamu adalah sebahagian dari aku.

Tenggelamkanlan jiwamu ke dalam dirimu dan di sana engkau akan bertemu jawapan yang engkau cari”.

Tanpa berlengah aku pun menenggelamkan jiwa ku ke dalam lautan diri ku.

Apabila azan subuh kedengaran, aku tersedar kepada segala keindahan kejadian dan realiti kejadian.

Aku sedar kerana ia tidak lagi menjadi penghalang kepada pencarianku.

Begitulah bermulanya satu pagi yang indah di dalam kehidupanku......

No comments:

Post a Comment